WELCOME

AHLAN WA SAHLAN

Friday 16 March 2012

ANAK PENGGU NTING RAMBUT

ANAK PENGGUNTING RAMBUT
( NOR HIDAYAH ASARI)

SINOPSIS


Cerpen “Anak Penggunting Rambut” mengisahkan seorang ayah yang mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Manisah. Manisah merupakan seorang anak yang berambut pendek seperti kanak-kanak lelaki dan mempunyai nama panggilan, Manis. Wajahnya comel dan suka tersenyum walaupun sedang sakit. Ayah berasa Manis lebih baik berambut pendek kerana dia selalu pening dan pitam.
           
            Manis bangga mempunyai ayah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut walaupun ayah sudah berusia enam puluh lima tahun. Kerana kebanggaan itu, rambut Manis akan digunting oleh ayah sehingga mencecah usia remaja. Ayah Manis terkenal dengan panggilan Mat Gunting di Kampung Batu 25, Bagan Datoh. Apabila ayah diterima menjadi peneroka FELDA, beliau mengambil upah menggunting rambut setelah pulang dari ladang.
           
            Ketika Manis berada di tadika, kawan-kawannya sering mentertawakan pekerjaan ayahnya sebagai penggunting rambut. Namun demikian, ayah akan menceritakan kesusahannya mencari rezeki di kampung dengan melakukan banyak pekerjaan termasuk menggunting rambut meskipun pendapatannya tidak seberapa. Ayah juga menceritakan rezeki sebagai penggunting rambut sudah sebati dengan hidupnya sejak kali pertama belajar menggunting rambut.
           
            Manis sangat suka berambut pendek. Bagi Manis, rambut pendek telah membawa kemenangan yang bermakna dalam hidupnya ketika berada di tadika. Sejak itu, Manis selesa dengan berambut pendek dan ayah terpaksa menuruti kemahuannya. Kebanyakan orang berpendapat bahawa ayah telah membentuk peribadi Manis berperwatakan lelaki  disebabkan rambutnya yang pendek. Namun begitu, ayah menyenanginya apatah lagi Manis menghargai titik peluh ayah sebagai tukang gunting. Selepas kematian isterinya, ayah sibuk mengambil alih tugas di dapur dan menjaga anak-anaknya hingga terlupa menggunting rambut Manis.
           
            Ayah akan mengenakan upah menggunting rambut sebanyak lima puluh sen untuk kanak-kanak dan seringgit untuk orang dewasa. Wang upah tersebut dikelakkan dalam bekas kelengkapan gunting rambut  dan disangkut pada dinding. Ayah tahu Manis selalu mengambil antara dua puluh sen atau tiga puluh sen wang upah tersebut  tetapi tidak memarahinya apabila mengetahui wang tersebut digunakan untuk membeli keropok lekor di kantin. Setelah menyedari wang belanja sekolah Manis tidak mencukupi, ayah telah menambahnya dengan syarat Manis tidak boleh lagi mengambil wang upah gunting tanpa kebenarannya.
           
            Manis akan menunggu ayah pulang dari ladang sambil mengaturkan masa pelanggan yang datang. Apabila ayah  pulang dari ladang, biasanya terdapat dua atau tiga orang pelanggan yang menanti kepulangannya. Manis akan membantu tugas-tugas lain seperti menyapu dan mengumpulkan rambut serta menyediakan cangkul untuk menggali lubang bagi menanam rambut-rambut yang digunting.
           
            Di alam sekolah menengah, Manis masih berambut pendek walaupun dicemburui oleh ramai pelajar senior. Pada waktu cuti hujung bulan, Manis akan meminta ayahnya menggunting rambutnya mengikut gaya yang baru. Akhirnya, imej Manis berambut pendek telah menjadi ikutan rakan-rakannya tetapi tidak disenangi oleh warden asramanya.
           
            Apabila meningkat dewasa, Manis menyambung pelajarannya di Kuala Lumpur. Sepanjang pengajiannya di universiti, Manis jarang-jarang pulang ke kampung. Manis cuma menelefon ayahnya dengan memberikan pelbagai alasan untuk tidak pulang ke kampung.
           
            Pada suatu hari, ayah mendapat panggilan telefon kecemasan daripada kawan Manis  yang menyatakan Manis sakit dan berada di hospital. Manis disahkan menghidap leukemia sama seperti penyakit ibunya. Hati ayah menjadi sebak apabila mengusap helaian dan gumpalan rambut Manis yang gugur daripada kulit kepalanya. Kepala Manis kini sudah separuh botak.
           
            Doktor memberikan harapan tipis untuk Manis hidup dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Namun begitu, Allah lebih sayangkan Manis. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di atas ribaan ayah. Pada akhir kalimat yang diucapkan oleh Manis kepada, ayahnya, masih terngiang-ngiang di telinga ayahnya betapa sehelai rambut Manis amat bermakna dan Manis tidak mampu menyimpannya lagi.

 TEMA


Kasih sayang  ayah terhadap anaknya. Ayah yang bekerja sebagai tukang gunting menyayangi anaknya, Manis  dengan memenuhi kehendak anaknya untuk bergunting rambut hingga ke akhir hayat anaknya.


 PERSOALAN

1. Persoalan berdikari untuk meneruskan kehidupan.
    Contoh:  Ayah meneruskan kehidupan menjaga Manisah setelah kematian isterinya.

2. Persoalan prihatin dengan masalah.anak.
Contoh:  Ayah menambah wang saku anaknya setelah wang saku yang diberi tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian di sekolah.

3. Persoalan menerima takdir Tuhan dengan tabah dan tenang.
Contoh:  Ayah dan anak-anaknya redha menerima kematian Manisah akibat penyakit Leukemia.

4. Persoalan mementingkan ilmu pengetahuan sebagai penyuluh hidup.
Contoh:  Manisah sanggup meninggalkan keluarga di kampung untuk menyambung pelajaran di bandar.



PLOT


Permulaan
Pengarang memulakan cerita  dengan memperkenalkan watak ayah sebagai tukang gunting yang dikagumi oleh anak perempuannya, Manis. Pekerjaan ayah sebagai  tukang gunting bermula dengan kerja sampingan tetapi akhirnya menjadi tersohor di Bagan Datoh. Manis pula menjadi pelanggan ayahnya dengan gaya guntingan rambut pendek.



Perkembangan
Manis berbangga dengan kerjaya ayahnya, sebagai tukang gunting walaupun diketawakan oleh kawan-kawannya. Kesetiaan Manis menemani ayahnya waktu bergunting rambut telah dikagumi oleh ayahnya. Manis mempunyai prinsip untuk mempertahankan rambut pendeknya walaupun sudah bersekolah menengah  dan ditegur oleh warden asramanya. Setelah melanjutkan pelajarannya di peringkat universiti, Manis tidak pulang ke kampungnya dan hanya sekadar menelefon ayahnya sahaja.

Klimaks
Manis disahkan menghidap penyakit leukemia oleh doktor. Dia hanya boleh hidup selama beberapa bulan sahaja. Ayah tersentuh hatinya apabila menerima perkhabaran itu

Peleraian
Penyakit leukemia Manis  bertambah parah. Manis akhirnya meninggal dunia. Ayah menerima suratan takdir Allah dengan mengenang kembali makna sehelai rambut Manis yang gugur akibat penyakit leukemia.

Teknik Penceritaan
Cerita disusun mengikut kronologi urutan masa.

1.   Dialog
Contoh:  “Mengapa abah teruskan juga menjadi pengunting rambut bila dah sampai ke sini?”

2.   Imbas kembali
      Contoh:  Aku masih ingat kali pertama dia ke tadika. Dia menangis.

3.   Monolog Dalaman
Contoh:  Kau tak rindukan pisau cukur yang pernah tergores di leher jinjangmu. Manis sudah lapan bulan abah tidak menggunting rambutmu.





WATAK DAN PERWATAKAN


Ayah
Ø  Sudah berusia lewat 60-an.
Ø  Seorang bapa tunggal.
Ø  Rajin bekerja untuk menyara keluarganya.
Ø  Tabah menjalankan tugasnya sebagai tukang gunting.
Ø  Memiliki bakat dan kepandaian menggunting rambut.
Ø  Hidup menduda setelah kematian isteri.


Manisah (Manis)
Ø  Memiliki raut wajah yang comel.
Ø  Berpendirian tegas  dan sanggup menghadapi risiko.
Ø  Berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam bidang pelajaran.
Ø  Rajin membantu orang lain.
Ø  Gemar berambut pendek.


 
LATAR


Masa
Ø  Petang – Ayah menanam rambut Manis di dalam satu lubang kecil selepas kematian Manis.
Ø  Subuh – waktu Manis meninggal dunia kerana penyakit leukemia.
Ø  Waktu siang – waktu ayah bekerja di ladang, di kedai gunting rambut, dan Manis pergi ke sekolah.

Tempat
Ø  Kampung Batu 25, Bagan Datoh – kampung asal ayah sebelum berpindah ke tanah rancangan FELDA.
Ø  Tanah rancangan FELDA – tempat ayah merantau untuk mencari penghidupan yang lebih baik.
Ø  Tadika – Manis dan kumpulannya mengambil bahagian dalam acara membawa bakul kacang di atas kepala dan memenangi acara tersebut.
Ø  Asrama – Manis tinggal di asrama semasa bersekolah menengah.
Ø  Hospital – tempat Manis dirawat kerana penyakit leukemia.

Masyarakat

Ø  Masyarakat yang mementingkan sikap berdikari untuk kelangsungan hidup.
            Contoh:  Ayah yang berdikari mendidik anak-anaknya setelah kematian isterinya.

Ø  Masyarakat peneroka FELDA yang dapat mengusahakan kerja sampingan.
            Contoh:  Ayah menjadi peneroka dan meninggalkan kampung halamannya.

Ø  Masyarakat yang berani mempertahankan risiko.
     Contoh:  Ayah mempertahankan tindakannya memotong rambut Manisah hingga    
     pendek walaupun dikritik orang kampung.

Ø  Masyarakat yang menerima takdir Tuhan dengan tabah
           Contoh:  Ayah dan abang menerima takdir kematian Manisah dengan redha.



 GAYA BAHASA



1.  Sinkope
     Contoh:  Kau degil tetapi cepat menangis.

2.  Kata Ganda
     Contoh:  Sampah-sarap, rakan-rakan, awal-awal,

3.  Simile
     Contoh:  Seperti Busut Hitam

4.  Personifikasi
     Contoh: Jari-jemari abah ini seperti menari-nari sendiri



NILAI



1.  Nilai keberanian.
Contoh:  Manisah berani berambut pendek walaupun telah dipanggil dan ditegur oleh       guru.

2.  Nilai berdikari
     Contoh:  Ayah berdikari dalam mendidik anak-anak selepas kematian isterinya.

3.  Nilai semangat bermasyarakat
Contoh:  Ayah sanggup meneruskan kerja menggunting rambut kepada peneroka dan anak peneroka walaupun bayarannya rendah.

4.  Nilai kasih sayang
     Contoh:  Ayah sangat menyayangi Manisah sejak dari kecil hingga dewasa.

5.  Nilai kerajinan
Contoh:  Ayah rajin bekerja di ladang dan juga sebagai tukang gunting rambut pada sebelah petangnya. Manisah juga rajin menolong ayahnya membersihkan tempat menggunting rambut.



PENGAJARAN




1.    Kita hendaklah menerima ketentuan Allah
      Ayah menerima ketentuan Allah yang mengambil  nyawa isterinya dan juga nyawa  anaknya Manisah lebih awal.

2.  Kita hendaklah mendidik anak dengan sempurna.
Ayah mendidik anak-anaknya dengan baik walaupun tanpa isteri yang telah meninggal dunia.

3.  Kita hendaklah bersangka baik terhadap jiran.
     Orang kampung memahami mengapa ayah memotong rambut Manisah hingga pendek.

4.   Kita hendaklah rajin belajar walaupun berjauhan dengan keluarga.
      Manisah rajin belajar sehingga masuk universiti walaupun berjauhan dengan keluarganya.


 LATIHAN



1.  Apakah pengajaran yang terdapat dalam petikan di bawah?
“ Bagaimanapun ajal dan maut kuasa Allah.  Allah lebih sayangkan Manis.  Subuh itu   Manis menghembuskan nafasnya yang terakhir di ribaanku.”

2.  Nyatakan gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di bawah?
   “Abah hanya mahu merindumu, Manis.”

3.  Nyatakan 3 perwatakan abah dalam petikan di atas?
“Abah saya tukang gunting rambut.  Masa muda, orang kampung panggil abah Mat  Gunting.  Abah saya cukup terkenal di kampung Batu 25, Bagan Datoh.”

Jawapan
1. Kita haruslah menerima takdir Ilahi.
2. Gaya bahasa sinkope, contoh merindumu.
3. Tukang gunting rambut, nama gelaran Mat Gunting, Pernah tinggal di Kampung Batu 25,   Bagan Datoh, dan terkenal di Kampung Batu 25.

Wednesday 28 September 2011

Makanan Melayu

Penduduk Melayu, Cina dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta warisan yang unik dan tersendiri.

Hari ini, kaum Melayu, kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 50 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan mempunyai keturunan Melayu. Pada asalnya mereka penganut Theravada Buddha dan Hindu pada kurun ke 1400-an, dan dengan pengaruh Istana Melaka ketika itu mereka menganut Islam. Orang Melayu terkenal kerana peramah dan budaya seni mereka yang sangat kaya.
Makanan:
Belacan
Ia merupakan sejenis bahan masakan yang diperbuat daripada udang kara yang dimampatkan dan tahan lama. Ia mempunyai bau yang kuat tetapi sedap dan berkhasiat dimakan. Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya. Mahupun begitu, sekiranya dibakar, belacan mengeluarkan bau yang sungguh kuat.  Belacan juga merupakan salah satu bahan bagi menghasilkan sambal belacan, iaitu cili dan belacan yang ditumbuk lumat dengan menggunakan lesung tangan.
Botok-botok
Botok- botok sejenis makanan tradisi orang Johor. Seperti juga telur pindang yang hanya boleh disediakan dengan baik oleh orang lama di Johor sahaja. Ianya berbungkus didalam daun pisang dan apabila dibuka kita akan dapati beberapa potong ikan yang diselaputi dengan banyak rempah ratus. Ikan yang selalu digunakan untuk masakan ini ialah ikan tenggiri atau ikan merah. Rempahnya yang istimewa khabarnya terdiri dari berbagai herba termasuk beberapa jenis daun pokok bunga puding.
Cencalok
Masyarakat Melayu di Melaka memang terkenal dengan pelbagai makanan tradisionalnya, yang memang cukup popular, bukan sahaja di tempat asalnya, malahan sudah melangkaui sempadan Malaysia. Selera Melaka sudah menjadi santapan lazim masyarakat Malaysia. Salah satu makanan yang menjadi kegemaran masyarakat Melayu Melaka ialah cencalok. Cencalok ialah sejenis lauk dalam hidangan makanan nasi. Cencaluk dibuat daripada udang halus yang lebih dikenali sebagai udang geragau. Udang geragau akan dicampurkan dengan air dan akan dicampurkan dengan sedikit nasi. Setelah ketiga-tiga bahan tadi sudah menjadi sebati, seterusnya akan dimasukkan ke dalam sebuah bekas iaitu pasu atau tempayan kecil dan ditutup rapat-rapat dengan menggunakan kain bersih untuk diperam dan disimpan selama 3 hari. Untuk menyedapkan rasanya lagi bolehlah dimasukkan sedikit air didih nasi. Untuk menyedapkan lagi apabila dimakan dengan nasi, hendaklah dicampurkan dengan lada basah dan bawang besar yang dihiris kemudian diperahkan dengan limau nipis atau limau kasturi atau juga dicampurkan sedikit lada basah dan sehiris halia kemudian digoreng dengan telur.
Gula Melaka
gulamelaka
Gula Melaka atau dikenali juga dengan nama Gula Tuak banyak terdapat di Melaka. Gula Melaka diperbuat daripada air nira kelapa. Kemanisan dan kehalusan Gula Melaka ini berbeza dengan gula tiruan yang berada di pasaran kini.
Proses membuat Gula Melaka bukanlah satu pekerjaan yang mudah kerana ia terpaksa melalui tiga peringkat pemprosesan. Seseorag yang pakar dalam membuat Gula Melaka dapat mengenal pasti kelapa yang dapat menghasilkan air nira yang baik. Ini penting bagi mendapatkan Gula Melaka yang bermutu tinggi.
Peringkat pertama dalam menghasilkan Gula Melaka ialah dengan menggunakan buluh dan pengikatnya serta pisau yang dikenali sebagai ‘penyadap’ untuk mengambil nira kelapa. Setelah itu, mayang kelapa dilenturkan dengan membalutnya pada daun kelapa muda. Ianya dilenturkan sedikit demi sedikit dan proses ini berterusan sehingga seminggu bagi mengelakkan tangkai mayang itu patah. Mayang yang dilentur dibuang seludangnya dan dihiris sedikit demi sedikit dan air nira ditakung ke dalam buluh yang sepanjang 1 kaki. Di dalam tabung tersebut diletakkan sedikit kapur untuk mencegah air nira daripda menjadi masam. Air nira ini dikenali sebagai air tuak.
Pada peringkat kedua proses memasak Gula Melaka selama empat jam. Pada peringkat ini pengawasan dan pengalaman penting bagi mneghasilkan gula yang baik. Tempat memasak gula Melaka dikenali sebagai sebagai ‘sabak’. Api sabak mesti dijaga agar tidak terlalu besar ketika gula mulai pekat dan mengeluarkan buih yang berwap panas. Nyalaan api tidak boleh dibesarkan lagi di peringkat ‘bunga sena’ di mana keadaan gula telah menjadi agak pekat dan mengeluarkan banyak buih dan mula dikacau perlahan-lahan. Beberapa minit kemudian, kancah diturunkan dan terus dikacau bagi menghasilkan gula yang halus.
Peringkat terakhir ialah bagi memastikan setelah cukup ukuran kepekatannya dan gula masih panas dituangkan ke dalam acuan yang diperbuat daripada buluh setinggi 3 inci, tidak tertutup di kedua-dua hujungnya dan tabung tersebut diletakkan di atas lantai khas. Setelah beku, gula tersebut dikeluarkan daripada bekas tersebut.


Dodol
Ia sejenis makanan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan yang manis (atau manisan/penganan). Dodol sangat terkenal di Melaka. Membuat dodol boleh dikatakan amat rumit. Ramai orang selalu mencuba untuk membuatnya. Tetapi tidak semua yang akan menghasilkan dodol yang bermutu tinggi. Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada mereka yang telah berusia. Jarang sekali generasi muda mahir membuat dodol.
Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, gula pasir, gula melaka dan garam.


Untuk membuatnya, bahan-bahan tersebut hendaklah dicampurkan bersama di dalam kuali yang besar atau dikenali sebagai kawah dan dimasak dengan api yang sederhana besar. Dodol yang dimasak tidak boleh dibiarkan kerana jika dibiarkan, dodol akan hangus atau hangit di bahagian bawahnya/kerak. Oleh itu, dodol hendaklah sentiasa dikacau bergilir-gilir untuk mendapatkan hasil yang baik. Dodol yang dimasak memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang 4 jam kerana sekiranya kurang dari 4 jam, dodol yang dimasak tidak sedap dimakan. Setelah 2 jam dodol tadi dimasak, dodol akan bertukar kepada warna coklat yang pekat sedikit. Dodol tersebut akan mendidih dan mengeluarkan gelembung-gelembung udara yang banyak.Seterusnya, dodol hendaklah dikacau supaya gelembung dodol tersebut tidak terkeluar dari kawah sehinggalah dodol tersebut masak dan diangkat.


Akhir sekali, dodol tersebut hendaklah disejukkan di dalam periuk yang besar. Untuk mendapatkan hasil yang baik dan rasa yang sedap, dodol mestilah berwarna coklat tua, berkilat dan pekat. Selepas itu, dodol tersebut bolehlah dipotong dan dimakan. Kebiasaannya dodol akan dihidang kepada tetamu pada hari-hari tertentu seperti hari-hari perayaan dan majlis kenduri.
Otk-otak
otak2
Otak-otak adalah sejenis makanan tradisional di perkampungan nelayan. Kebiasaannya dimakan sebagai makanan ringan di jamuan petang. Terdapat dua jenis otak-otak di Malaysia iaitu “Otak-otak Terengganu” dan “Otak-otak Johor.”

Pada lazimnya ia dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah tetapi kini ianya boleh dibungkus dengan kulit popia dan dikenali sebagai ‘spring roll’. Kebiasaan otak-otak diperbuat daripada isi ikan laut. Bagi ikan air tawar yang sesuai untuk dibuat otak-otak ialah ikan tilapia merah, patin dan keli. Otak-otak yang dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah perlu dibakar di atas dapur arang atau dapur biasa. Ia lebih enak dimakan ketika masih panas.
Tapai

Tapai ialah sejenis penganan yang dibuat daripada pulut. Terdapat 2 jenis tapai iaitu tapai ubi dan tapai pulut. Biasanya tapai pulut lebih popular jika dibandingkan dengan tapai ubi. Tapai pulut rasanya lebih sedap kerana itulah tapai ubi tidak dapat menandingi tapai pulut.
Bahan-bahan untuk membuat tapai tidaklah terlalu rumit. Tapai pulut memerlukan bahan seperti pulut, ragi dan sedikit gula. Ketiga-tiga bahan ini hendaklah dicampurkan sehingga sebati. Kemudiannya akan dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun yang disebut sebagai daun tapai. Tetapi pada zaman ini, daun tapai semakin sukar didapati dan kebanyakan tapai dibungkus dengan menggunakan daun pisang. Terdapat sedikit perbezaan rasa antara tapai yang dibungkus dengan daun tapai dan tapai yang dibungkus dengan daun pisang.
Tapai yang telah siap dibungkus dimasukkan ke dalam pasu tempayan yang besar dan ditutup dengan kain. Setelah diperam dan disimpan selama 3 hari, tapai itu akan masak dan barulah boleh dimakan. Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.
Orang tua zaman dahulu juga mempunyai pantang larang apabila hendak membuat tapai. Apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah. Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap. Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam.
Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama, masanya adalah lebih kurang dalam 2 hari sahaja dan kerana rasanya yang terlalu manis biasanya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut, dan sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan tapai, tapai itu boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais.

Dengarlah Nasihat

Aku Sebuah Basikal


Aku ialah sebuah basikal yang berjenama LERUN. Aku dilahirkan di sebuah kilang yang terdapat di Selangor Darul Ehsan. Pada suatu  hari, aku telah dihantar ke sebuah kedai basikal di Kota Kinabalu,Sabah.
      Aku dihantar ke Kota Kinabalu dengan menggunakan kapal terbang. Setelah aku sampai di lapangan terbang Kota Kinabalu, aku diangkat dan dimasukkan ke dalam lori lagi dan dihantar ke kedai. Kedai itu dikenali sebagai CHILDREN SHOP. Di sini, aku dipamerkan kepada orang ramai. Ramai pelanggan yang tertarik dengan kelebihanku tetapi mereka tidak mampu untuk membeliku kerana aku dijual dengan harga yang mahal, iaitu RM450.
Pada suatu hari, seorang remaja lelaki yang kacak telah membeliku. Dia membayar duit kepada penjual lalu membawa aku pulang ke rumahnya. Remaja yang kacak itu bernama Khairul Anwar.
      Khairul Anwar  selalu menggunakan aku ke sekolah dan bersiar-siar di sekitar bandar Kota Kinabalu. Aku juga selalu dibawa bersiar-siar di tepi pantai. Aku berasa sangat bangga kerana dapat berkhidmat  kepada tuanku. Aku dijaga dengan begitu rapi sekali. Setiap hari, aku dibersihkannya.
     Setelah beberapa tahun kemudian, badan-badanku telah berkarat. Cat di badanku juga telah tiada. Aku tidak secantik dulu lagi. Kini aku telah ditempatkan di bangsal kereta. Di sinilah aku menghabiskan sisa-sisa hidup aku sebagai sebuah basikal.

Masalah remaja

Fenomena remaja lari dari rumah semakin membimbangkan.Masalah ini berpunca daripada pelbagai faktor.
         Punca utama remaja perempuan lari dari rumah adalah kerana mengikut kekasih.Hubungan yang erat memudahkan mereka terpedaya.Begitu juga dengan pengaruh rakan.Hakikatnya,remaja cenderung menurut kata rakan tanpa menilai buruk baik perlakuan mereka.
         Remaja yang ingin akan kebebasan turut  menjadi punca masalah ini.Selain itu,kurangnya perhatian keluarga menyebabkan remaja bosan berada di rumah.Suasana ini akhirnya mendorong mereka keluar dari rumah.
         Punca yang seterusnya ialah bargaduh dengan keluarga serta sikap yang tidak minat belajar.Sebenarnya,remaja sebegini hanya memikirkan keseronokan tanpa berasa bertangungjawab terhadap keluarga dan masa depan.
        Rumusannya,masalah yang semakin serius ini wajar dibendung.Ibu bapa dan pihak berkuasa perlu berganding bahu untuk menangani masalah.